Saturday, August 7, 2010

JANGAN KETAWAKAN BANGSA ARAB, MELAYU APA KURANGNYA


SELAMA ini kita selalu memperlekehkan bangsa Arab. Malah sejak kecil lagi kita kerap dengar kata-kata "Kiamatlah dunia kalau bangsa Arab bersatu!".

Sekarang dalam skop lebih kecil kita menyindir pula bangsa Palestin yang tidak pernah bersatu menentang Israel. Macam mana Palestin nak menang kalau Hamas dan Fatah sendiri asyik bergaduh. Sampai mati Palestin tak akan menang dengan Zionis selagi mereka tidak bersatu.

Sebab itu walaupun Israel dikelilingi berbagai negara Arab, dia tidak pernah takut berhadapan dengan sebarang ancaman, sebab israel tahu orang Arab tidak akan bersatu menentang mereka.
Kalaulah arab bersatu, tentu Israel tidak akan sewenang-wenangnya mengganyang negara Arab.

Malang betul bangsa Melayu. Mereka selalu meneropong kuman di seberang laut, tetapi lupa melihat gajah di depan mata.

Orang melayu cuma gemar melihat bangsa Arab nun jauh di sana saling bercakaran, tetapi dalam masa yang sama terlupa melihat pada diri sendiri yang sukar diajak bersatu.

Betul, apa kurangnya dengan bangsa kita melayu. Apakah melayu bersatu dalam menghadapi isu yang membabitkan bangsa, adat, budaya dan agama Islam?

Malah, kita sebenarnya patut malu dengan bangsa lain, dengan kaum Cina atau India, Kadazan atau Iban. Mereka semua bersatu demi mempertahankan kekuatan suku kaum dan ras masing-masing.

Tetapi kita disebabkan sentimen politik sanggup bergaduh, memaki hamun atau mencipta berbagai tohmahan bagi menjatuhkan saudara sebangsa dan seagama.

Disebabkan ideologi berbeza UMNO dan PAS orang Melayu berpecah. Perpecahan itu digawatkan lagi dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah lagi parti alternatif Melayu.

Mangsanya masyarakat Melayu sendiri, saudara mara, masjid dan surau.

Kerana politik, surau dan masjid menjadi medan perebutan kuasa. Bila golongan PAS menguasai masjid atau surau, penyokong UMNO tidak datang ke rumah Allh itu. Kalau masjid atau surau dikuasai UMNO, penyokong PAS akan membuat berbagai helah untuk menguasainya.

Maka berlakulah pulau memulau. Bila penyokong UMNO adakan kenduri kendara, penyokong PAS tidak hadir sekalipun mereka tinggal dalam sebuah taman perumahan atau dalam sebuah kampung dan ada pertalian persaudaraan.

Hinggakan urusan jenazah mereka pulau. Penyokong UMNO enggan menziarahi jenazah pengikut PAS. Begitu juga imam PAS enggan menguruskan jenazah orang UMNO.

Adik beradik berbalah dan tidak bertegur sapa disebabkan berbeza ideologi politik. Lebih parah lagi, sengketa politik ini membabitkan tokoh agama. Ada guru agama berani memutar belitkan maksud tafsiran al-Quran atau hadis semata-mata untuk memihak kepada perjuangan mereka.

Apa nak jadi dengan agama kita bila ALLah sendiri mereka tidak takut demi menegakkan sentimen politik!.

Tidak hairanlah sultan dan raja-raja sendiri sanggup dijadikan sasaran melepaskan kemarahan jika tidak memihak kepada mereka.

Mereka hanya menjunjung istana jika memberi keuntungan kepada perjuangan mereka.

Inilah yang diluahkan berulang kali oleh Sultan Selangor dalam titah baginda baru-baru ini. Baginda kecewa dan hairan dengan gelagat umat melayu kebelakangan ini yang semakin tidak keruan mengejar sesuatu yang tidak pasti.

Seolah-olah umat melayu hari ini sanggup menderhaka kepada sultan dan berbohong kepada Allah demi mempertahankan jaguh politik mereka.

Soalnya kenapa sentimen ini cuma berlaku dalam kelompok masyarakat Melayu sahaja?

Lihat bagaimana masyarakat India baru-baru ini bersatu dalam menghadapi isu kematian Kugan, lelaki yang menjadi buruan polis kerana disyaki menyamun kereta mewah.

Itu baru seorang yang disyaki buruan polis, belum lagi tokoh berjasa kepada bangsa mereka, mereka bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Dua timbalan menteri, seorang MIC dan seorang PPP sama-sama bersuara satu nada. Malah pemimpin PKR dan DAP dari kaum india juga bersatu memperjuangkan nasib Kugan. Tidak terkecuali Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sanggup menyediakan seberapa ramai peguam demi menegakkan kebenaran kematian Kugan.

Kenapa kita tidak mampu bersatu dalam menghadapi perjuangan menegakkan bangsa dan agama kita?

Begitu juga di rumah-rumah ibadat, keturunan India atau Cina tidak pernah bertekak berebut kuasa. Mereka tidak peduli penyokong MCA atau DAP, mereka sama-sama beribadat mengikut tuntutan agama masing-masing.

Tetapi kita, tidak kira dimana, waimma di masjid yang mulia pun masih sanggup bertekak menegakkan sentimen politik.

Ingatlah, didalam politik tidak ada yang kekal. Musuh tidak kekal dan sahabat pun tidak kekal.

Habis, kenapa kita bagaikan tidak siuman bertekak mempertahankan sesuatu yang belum pasti kekal?

BERSATULAH MELAYU!

Sunday, August 1, 2010

MELAYU DIPERSIMPANGAN



Bangsa Melayu hari ini berada di persimpangan yang amat menggerunkan. Orang Melayu hari ini sedang duduk di dalam satu dilema yang mengerikan. Benarkah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis. Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri, akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini.

Mungkinkah pada akhirnya Melayu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan hanya terkandung dalam cerita hikayat-hikayat lama? Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan menjadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa? Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan menggigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan satu kuasa bukan Melayu yang tidak peduli kepada melayu lagi.

Pada 63 tahun lepas, Inggeris telah menubuhkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada residen. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Perjuangan UMNO telah berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja melayu.

Tetapi pada hari ini usaha-usaha untuk menyambung semula idea Malayan union iaitu satu konsep total untuk menghapuskan hak melayu dan Islam telah dimulakan semula oleh pemimpin parti pembangkang. Mereka telah menyemai semangat 'ketuanan rakyat' yang digembar-gemburkan sebagai satu platform kebangkitan rakyat menentang pemerintahan negara dengan menggunakan slogan 'kuasa kembali kepada rakyat’.

Persamaan konsep 'malayan union' dan 'ketuanan rakyat' ini telah diimplementasikan di Pulau Pinang dengan penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehari selepas kemenangan DAP. Hari ini di Perak pula mereka telah memulakan langkah-langkah implementasi ke arah menjahanamkan maruah Ke Bawah Duli Sultan Azlan Shah.

Sebenarnya tindak tanduk pemimpin pembangkang ini membayangkan kepada kita cita-cita agong mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara republik.

Oleh itu bersatulah seluruh umat melayu. Perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu dalam Perlembagaan negara.

Walaubagaimanapun kita menyedari, perjuangan ini bukannya mudah. Usaha dan tenaga harus digembeling dengan satu suara dan satu nada bak puisi Siti Zaleha Hashim.

Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau (aku) teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang

Apa yang berlaku pada hari ini menuntut kita ahli-ahli UMNO untuk bekerja keras. Piihan Raya Umum ke-12 yang lepas sudah cukup memberikan kita keinsafan. Oleh itu kepada seluruh kepimpinan UMNO, sama ada diperingkat tertinggi dan juga akar umbi, penuhilah tuntutan kepimpinan ini umpama ungkapan melayu:

Menjadi pemimpin ia pilihan
Budi mulia dada beriman
Janji diisi amanah dijalankan
Terhadap rakyat belas kasihan
Terhadap negeri penuh perhatian.
Maruahnya nampak bertuah badan
Ke mana pergi jadi teladan.

Letakkanlah kepentingan agama, bangsa dan negara di tempat yang teratas, Insya-Allah, perjuangan kita untuk memperkasakan bangsa dan membina peradaban gemilang akan dimakbulkan Allah.

Perahu payang layarnya merah
Belayar menuju arah utara
Keris dipegang bersintukkan darah
Adat srikandi membela Negara

Dengan harapan itu, marilah kita menyusun kekuatan agar matlamat untuk menjulang martabat bangsa akan tercapai. Bersamalah kita bulatkan tekad, tingkatkan iltizam, bersatu Memenuhi Tuntutan Perjuangan.

Demi agama, bangsa dan negara aku rela BERJUANG,
Mengembalikan MARUAH dan bangsa TERBILANG.

Salam Perjuangan,